Thursday, 25 September 2008

LELAKI BELAJARLAH MENJADI DEWASA


LELAKI INILAH MASA ANDA MENJADI DEWASA....


RAMAI yang memasuki gerbang perkahwinan hanya dengan bermodalkan cinta semata-mata. Sedangkan perkahwinan yang bermula dengan cinta membara bukan jaminan untuk ia terus bertahan. Dan, surat nikah pula bukan jaminan kebahagiaan kerana ia ibarat lesen kereta yang belum tentu menjamin keselamatan jalan raya jika kita tidak mematuhi peraturan lalu lintas.

Dalam perkahwinan kita membawa beraneka kelakuan dan kebiasaan. Kelakuan itu sama ada baik mahupun buruk, kelebihan atau kelemahan serta kedewasaan atau kanak-kanak. Perkahwinan adalah tindakan orang dewasa walaupun ketika memasuki gerbang perkahwinan, kita belum cukup dewasa. Sepatutnya, apabila diijab kabul, kita yakin kepada diri sendiri bahawa kita dalam dunia orang dewasa.

Dalam perkahwinan, kita mungkin terbawa sikap keanak-anakan atau perangai ganjil dan mementingkan diri sendiri. Malah, perkahwinan bukan jaminan kita akan meninggalkan semua sifat itu. Namun, apabila kita mampu mengimbangi kelakuan yang sukar itu, perkahwinan menjadi perpaduan yang menyenangkan. Terdapat juga seseorang yang begitu lama mempunyai sikap keanak-anakan tiba-tiba berubah menjadi orang dewasa apabila memasuki alam perkahwinan.

Kadangkala perkahwinan itu melukai kita tetapi perkahwinan juga menyembuhkan kita. Banyak pasangan suami isteri yang bahagia mempunyai cerita betapa sulitnya mereka ketika dalam masa penyesuaian. Malah, mereka hampir terhempas dan karam. Tetapi, mereka mampu menghadapi semua cabaran itu dan akhirnya perkahwinan menjadikan mereka dewasa.

Dalam perkahwinan kita beruntung kerana mempunyai seorang kawan tempat kita mengadu, membahagikan masa dan menghadapi hari-hari yang tidak dapat dipastikan sama ada seronok atau sebaliknya. Walaupun kadangkala perangai suami menyakitkan hati, tetapi dia masih boleh menjadi suami yang baik malah kadangkala dalam kesepian, dapat juga kita melabuhkan kepala ke bahu atau dada suami.

Memang selalu kita dengar keluhan yang menakutkan mengenai perkahwinan. Misalnya, seorang wanita bercerita, “selama 20 tahun saya menjadi isterinya, hidup saya benar-benar terseksa. Barulah sekarang kami bahagia”. Mendengar keluhan begini, tentu ada yang beranggapan bahawa begitu lama untuk mencari penyesuaian, jika begitu lebih baik tidak kahwin sahaja. Sebenarnya, kejadian yang begitu dramatis tidaklah selalu terjadi untuk mencapai penyesuaian dalam perkahwinan.

Sebagai bukti, ketika hidup bersama keluarga, ayah, ibu, kakak, abang dan adik atau dalam pergaulan sehari-hari, teman sebilik juga memerlukan keseimbangan. Malah, kejadian sehari-hari seperti itu adalah latihan untuk hidup bersama pasangan anda dalam perkahwinan.

No comments: